Ketenangan jiwa mampu ubati stres, murung


SECARA umum, kehidupan manusia pada zaman moden ini sering diancam gelisah atau murung. Perasaan itu adalah penyakit yang boleh membunuh secara senyap dan satu fenomena yang harus diatasi.

Ia tidak di mata tetapi amat menakutkan setiap insan yang boleh menyebabkan terbantutnya aktiviti dan seterusnya mengganggu kekhusyukan beribadah kepada Allah s.w.t.

Kemurungan atau gelisah adalah penyakit biologikal atau jiwa yang dihadapi seseorang yang membawa kesan kepada pemikiran, anggota badan dan perasaan.

Penyakit kemurungan dikenal pasti berpunca daripada beberapa keadaan antaranya keturunan, tekanan persekitaran yang mengejar kehidupan moden dan kebendaan, suasana pekerjaan di tempat kerja, tekanan terhadap tanggungjawab, bebanan hutang dan kesan penagihan dadah.

Kajian Persatuan Stres Malaysia mendedahkan sepertiga daripada rakyat Malaysia mengalami tekanan di tempat kerja, jalan raya dan rumah.

Tekanan akan menyebabkan denyutan jantung meningkat dan tubuh sakit walaupun pemeriksaan doktor mendapati tiada mana-mana anggota badan yang sakit.

Kesan terhadap sosial pula diri tidak terurus, hilang minat terhadap kerja, hilang tumpuan, sentiasa memikirkan hal negatif dan kegiatan menjadi perlahan, mudah marah, suka menyendiri dan menjauhkan diri daripada rakan.

Perasaan itu ada kalanya bermula daripada stres tetapi lama kelamaan memerlukan bantuan pakar bagi mengubatinya.

Islam menawarkan pelbagai cara dan kaedah untuk mengatasi masalah kemurungan.

Ini termasuk menerusi amalan wirid, zikir dan membaca al-Quran. Digalakkan juga berpuasa dan mengekalkan air sembahyang dan menunaikan sembahyang lima waktu bagi menenangkan fikiran serta berdoa membersihkan jiwa.

Daripada Zaid bin Arqan r.a, Nabi s.a.w bersabda:

    "Ya Allah! Berikanlah kepada diriku ketakwaan dan bersihkanlah ia, Engkaulah sebaik-baik yang menyucikannya, Engkaulah juga Pemerintahnya dan Penghulunya."

(Hadis Riwayat Muslim)

Panduan untuk mengurangkan gelisah antaranya taubat, takut, zuhud, sabar, ikhlas, reda, syukur, mengingati mati, tidak meninggalkan solat serta membaca al-Quran dan sentiasa mengingati Allah.

Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud,

    "Wahai manusia telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi pengajaran daripada tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang ada dalam dadamu (jiwa) dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman."

(Surah Yunus: 57)

Manusia adalah hamba Allah yang paling sempurna dan sebaik-baiknya kejadian makhluk yang diciptakan.

Oleh itu, kehidupan manusia akan menjadi tenang dan bahagia apabila manusia mengenal Penciptanya.

Menurut Imam al-Ghazali, setiap insan wajib mengenal Allah dan seterusnya dapat mengenal diri sendiri dalam proses menjadi insan bertakwa.

Manusia inginkan kebahagiaan dalam kehidupan. Namun, tidak semua keinginan dapat dinikmati dalam kehidupan.

Bagi mencapai apa yang dicita-citakan, manusia disarankan beristiqamah, sabar, amanah, berbuat baik dan bertakwa.

Konflik dan kegelisahan jiwa timbul apabila seseorang tidak berusaha untuk menjaga diri daripada hawa nafsu, pemikiran dan hatinya.

Nafsu tamak, pemikiran kotor dan hati tidak bersih boleh menyebabkan kegelisahan jiwa.

Justeru, manusia diingatkan supaya menjauhi segala maksiat, makanan haram, menjaga pandangan, penglihatan serta hawa nafsu yang merosakkan.

Elakkan bercakap banyak, panas baran, hasad dengki, bakhil, suka bermegah-megah, sombong dan takbur dengan diri sendiri, cintakan dunia, rasuah, suka memfitnah, ujub dan riak juga perlu dijauhkan.

Apabila seseorang melakukan maksiat yang dinyatakan itu, dosa mereka akan bertambah hingga menjadikan diri mengalami lebih banyak konflik.

Tags : ,

Rate this Post :
     

Rating: 0.00/5 (0 votes cast)


from the community... (0)

No Comments for this post yet...

Please log in to post comments